Thursday, June 27, 2013

Jonker Walk Ditutup?

"Sekarang sedang heboh diperkatakan mengenai penutupan Jonker Walk di Bandar Melaka.  Untuk makluman, kita mendapat satu kekhilafan berita yang yang tidak telus.  Sebenarnya bukan penutupan 'Jonker Walk' tetapi laluan di Jonker Walk dibuka untuk kenderaan pada hari Sabtu dan Ahad.  Kekhilafan berita ini mengemparkan peniaga-peniaga di Jonker Walk dan menimbulkan sentimen perkauman."
Jonker Walk merupakan satu tempat tarikan pelancong dan pada setiap hujung minggu keadaan dan suasana di Jonker Walk pastinya sesak dengan kunjungan pelancong dan ratusan peniaga di sana.



MELAKA 26 Jun - Akhbar berbahasa Cina di negeri ini diminta lebih telus dan tidak menyiarkan berita yang tidak benar kerana ia boleh menimbulkan sentimen perkauman.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Latiff Tamby Chik berkata, penyiaran berita mengenai keputusan kerajaan negeri mengarahkan perniagaan di kaki lima Jonker Walk yang menjual pelbagai cenderamata ditutup adalah tidak benar sama sekali.
Menurutnya, mesyuarat Exco kerajaan negeri pada 12 Jun lalu tidak pernah membuat sebarang keputusan mengarahkan Jonker Walk yang menjadi pusat tumpuan pelancong ditutup.
''Apa yang kita putuskan ialah jalan di Jonker Walk yang sebelum ini ditutup pada setiap hari Sabtu dan Ahad dibuka semula kepada lalu lintas berikutan rungutan orang ramai akibat kesesakan teruk di sekitar Bandar Hilir pada setiap hujung minggu.
''Malah dalam beberapa sidang akhbar yang dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Idris Haron ketika menjawab soalan daripada wartawan akhbar Cina, beliau menjelaskan hanya jalan di Jonker Walk yang dulunya ditutup dibuka semula dan bukannya mengarahkan Jonker Walk ditutup.
''Mungkin ada kalangan wartawan akhbar ini tidak faham atau menyalahtafsir kenyataan yang dibuat oleh Ketua Menteri berhubung isu tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kekeliruan yang disiarkan oleh beberapa akhbar berbahasa Cina di negeri ini apabila memetik Idris berkata, kerajaan negeri pada mesyuarat Exco kerajaan negeri 12 Jun lalu, membuat keputusan menutup aktiviti perniagaan di kaki lima Jonker Walk.
Ekoran kenyataan itu juga, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Chin Choong Seong mendakwa penutupan pasar Jonker Walk merupakan 'pembalasan' kepada pengundi Cina yang menyokong pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Sehubungan itu, Latiff meminta akhbar berbahasa Cina agar lebih telus dan jujur dalam menyiarkan berita supaya ia tidak menimbulkan salah tanggap masyarakat terhadap kerajaan negeri.
Latiff menjelaskan keputusan yang diambil untuk membuka semula jalan yang ditutup sebelum ini di Jonker Walk bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang teruk berlaku setiap hujung minggu.
''Pihak akhbar harus lebih berhati-hati dalam menyiarkan berita agar ia tidak menimbulkan kekeliruan dan salah faham pihak-pihak tertentu," katanya.


Sumber

Picture : google

MP : Biarlah jujur menyiarkan berita di laman sosial @ di dada akhbar.....