Monday, October 7, 2013

PEMBAHAGIAN FARAID YANG TIDAK SELESAI


PADA hari ini menyelesaikan pusaka bukan lagi menjadi satu keutamaan kepada 
umat Islam. Tiada masa kerana sibuk bekerja, tiada hubungan baik dengan 

keluarga, malas hendak masuk campur kerana tidak berminat untuk mendapatkan
harta tersebut, tinggal jauh dari kampung dan sikap enggan ambil tahu tentang 
harta pusaka adalah antara sebab-sebab remeh yang lazimnya kita dengar
apabila ditanya mengenai status harta pusaka yang belum diselesaikan oleh waris.

Lebih membimbangkan lagi adalah kesan dari tindakan di kalangan waris sendiri 
yang gagal untuk menyelesaikan pusaka simati walau pun mengetahui perlu berbuat demikian seperti yang dikehendaki oleh syarak. Apakah kesan dan implikasi yang dimaksudkan?
Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa tindakan melengah atau menangguh penyelesaian pusaka ataupun enggan menyelesaikan pusaka simati atas 
sebab-sebab yang tidak diketahui membawa kepada pengabaian ketetapan 
Allah SWT iaitu tidak melaksanakan pembahagian Faraid. Pelaksanaan ini adalah 
satu perkara yang dituntut dan wajib dilaksanakan kepada waris yang berhak 
sekiranya tiada persetujuan bersama dibuat sama sekali.

Senario begini amat membimbangkan, sekiranya masih berterusan dan tidak 
ditangani dengan positif akan membawa satu implikasi yang buruk dan kesannya 
amat memudaratkan kepada umat Islam khususnya. Umat Islam akan kehilangan
ilmu faraid.
Secara ringkas apabila pentadbiran pusaka tidak diselesaikan, maka beberapa
proses utama tidak akan dilakukan antaranya; mengenal pasti dan mengesahkan
waris yang berhak, harta pusaka simati, hutang dan juga wasiat tentunya tidak
dapat dilakukan dengan sempurna seterusnya pembahagian berdasarkan Faraid.

Oleh itu, seorang waris perlu tahu dan sedar akan kewajipan, tanggungjawab 
dan keutamaan yang perlu dilakukan kerana ianya boleh menjurus kepada
perkara yang cuba dielakkan iaitu mengabaikan pelaksanaan Faraid. Dalam masa 
yang sama, waris juga jangan lupa, bagaimana pula kedudukan simati yang 
berada di alam yang berbeza? 
Apa jua yang dilakukan, yang pasti kesan dan implikasinya bukan hanya 
kepada yang hidup tetapi juga kepada yang telah mati.

Umat Islam dan waris perlu menyelesaikan pusaka simati secepat mungkin 
sama ada secara Faraid atau Persetujuan Bersama. Sekiranya tidak dilakukan
dikhuatiri akan mengakibatkan berlakunya tiga perkara; memakan harta anak 
yatim, memakan harta saudara mara (Waris yang berhak ) dan memakan
harta Baitulmal.Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab waris untuk memberi
keutamaan kepada beberapa perkara penting; iaitu menyelesaikan pusaka 
simati dengan kadar segera dan memastikan waris yang berhak mendapat 
hak masing-masing. 

Sama ada dilakukan sendiri atau sebaliknya, hak waris yang berhak perlu 
dilindungi setiap masa tidak sekali-kali diabaikan serta mengelakkan
berlakunya masalah-masalah pusaka berlapis.
Sekiranya pentadbiran pusaka tidak diselesaikan maka amat dikhuatiri berlaku 
kezaliman dan penganiayaan kepada waris-waris yang berhak 
contohnya; Golongan Ashabul-Furud yang menerima pusaka menurut dan
berdasarkan bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu sama ada : 
1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8. 
Mereka ini terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, 
anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara
perempuan sebapa dan saudara seibu.

Sekiranya di kalangan golongan ini terdapat kanak-kanak bawah umur belum 
berusia 18 tahun maka hak mereka telah diabai dan dianiaya. Apabila ini berlaku 
maka balasan yang akan diterima sesungguhnya hanya Allah SWT saja yang tahu.
“Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak 
yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), Yang jika ditakdirkan mereka 
pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) 
mereka akan merasa bimbang terhadap (Masa depan dan keselamatan) anak-anak 
mereka; oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan Yang betul (menepati kebenaran)” - Surah An-nisa’, ayat 9

Begitu juga dengan hak simati yang perlu dilaksanakan contohnya: 
yang mula sekali perlu (bahkan wajib) diperhatikan ialah tentang status dan 
kedudukan harta waris itu sendiri. Terutama sekali dari segi hak dan kaitannya 
dengan perkara-perkara lain seperti Zakat, Nazar, Kaffarah, Haji, Gadaian,
Denda Hukum, Hutang kepada Allah dan sebagainya.

Sekiranya zakat belum dikeluarkan, maka wajib dikeluarkan. 
Jika sebahagiannya juga ada diperuntukkan untuk nazar oleh si mati, 
maka wajib ditunaikan. Jika antara harta itu terdapat gadaian juga wajib 
ia diasingkan. Jika ada hutang si mati kepada Allah,maka perlu dibayarlah
hutang itu. Jika semasa hidupnya sudah wajib dia menunaikan Haji, tetapi 
dia tidak pergi menunaikannya, maka wajib juga diasingkan untuk keperluan menghajikannya, begitulah seterusnya.

Umat Islam dibolehkan dan dibenarkan menggunakan instrumen lain seperti; 
Wasiat, Amanah, Hibah dan Hadiah asalkan tidak bertentangan dengan tuntutan 
dan kehendak syarak tanpa sekali-kali membelakangi dan mengenepikan Faraid. 
Ini wajib difahami oleh umat Islam kerana pembahagian harta pusaka
berdasarkan Faraid dilakukan dengan adil.

Bagi tujuan pelaksanaan dan melindungi hak waris maka pembahagian dibuat 
hanya kepada nama waris dan bahagian masing-masing seperti yang tercatat 
di dalam Sijil Faraid.
Asas kepada kadar dan bahagian yang akan diterima oleh waris yang berhak 
sudah ditetapkan secara khusus juga melalui wahyu. Ayat-ayat mengenai 
faraid ini banyak terdapat dalam AI-Qur'an, begitu juga dalam hadis-hadis. 
Di antaranya hadis adalah seperti berikut yang bermaksud:
“Daripada Ibnu 'Abbas Radhiallahu 'anhuma daripada Nabi Shallallahu 
'alaihi wasallam sabdanya:
“Kamu bahagi-bahagikanlah harta (pusaka) di antara ahli fard’idh (waris) 
berdasarkan Kitabullah.”Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Pada hari ini peranan manusia adalah untuk menunaikan fungsi utamanya 
iaitu bertanggungjawab untuk pelaksanaan hukum Allah begitu juga dengan pihak 
Mahkamah. 
Perkara ini amat penting kerana hukum atau tatacara pembahagian
harta waris melalui Fara’idh adalah wajib.

sumber    
Picture : google

MP : Melalui pembahagian faraid nasib waris terbela dan janganlah menyalahgunakan hukum yang ada.....