MESSTIN KARAT

kredit : sumber


Dalam perjalanan admin menyudahkan tugasan, ada masa-masanya admin akan singgah di mana-mana tempat menghilangkan lelah.  Yelah....ride sorang-sorang....jauh-jauh....kejar deadline, mana tak letihnya dan antara tempat feveret admin adalah tempat-tempat yang terletak di kampung-kampung. Kenapa? Sebab di kawasan kampung ni, terutamanya di kedai-kedai kopi....macam-macam manusia dengan pelbagai ragam dan kisah yang kita akan jumpa.  Berbeza dengan di bandar, mereka yang di kampung ni...rata-rata admin jumpa adalah jauh lebih mesra.  Walaupun mereka tak kenal kita dan satu lagi ramai juga di kalangan yang admin jumpa ni adalah mereka-mereka yang pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan.

Ada satu warung kecik ni, beberapa kali admin singgahi.  Kedainya biasa saja dan seperti biasa admin akan order benda biasa sajalah....milo ais atau sirap bandung dan laksa atau koeyteow goreng....bolehlah tahan..dan beberapa kali admin singgah ni.....selalunya admin akan terserempak dengan kelibat seorang pakcik ni yang agak menarik minat admin.  Orangnya dah berusia, sekitar 60 tahun kalau tengok rupa dia,orangnya kemas.  Walaupun berpakaian lusuh, dia selalunya duduk seorang diri....melayan kopi panas, rokok daun dan nasi lemak sebungkus dan melayan suratkhabar bahasa inggeris. Mungkin itu yang menyebabkan orang kampung tak berapa duduk dengan dia.  Beberapa perkara membuatkan admin syak yang dia ni adalah seorang bekas anggota.  Kali tu admin kesuntukan masa, jadi admin buat keputusan untuk menghampiri beliau kali seterusnya admin singgah..dan admin bernasib baik.  Kali keseterusnya admin sampai....ngam-ngam beliau pun baru sampai. Admin pun angkat gelas dan pinggan dan mintak kebenaran duduk semeja dengan beliau.  Mulanya beliau agak terkejut tapi kemudian mengukir senyum mesra dan mempersilakan.

Dari sembang bab-bab kecil seperti tentang tanaman padi, tangkapan ikan, melajak ke kisah moto....Akhirnya sampai ke kisah tentang diri beliau.  Lama beliau termenung bila admin tanyakan tentang unit beliau...Sebelum beliau tanya admin....bagaimana admin tau.  Setelah admin jelaskan...baru nampak beliau lebih terbuka.  Beliau kalau boleh....tak mahu identiti beliau dikenali, dipendekkan cerita....beliau ajak admin ke rumah beliau yang terletak tidak jauh dari situ.

Rumah beliau terletak di pinggir sawah, memang agak uzur....rasanya kalau tolak dengan jari pun rebah.  Tidak ada tv.....yang ada hanya tilam lusuh....almari yang penuh dengan buku....dinding yang penuh dengan gambar..dan sepasang dua baju yang digantung....serba kekurangan..namun sangat kemas.  Di belakang rumahnya ada sebuah pondok kecil dan beberapa ekor ayam berkeliaran.  Sebuah pelantar kayu terletak di depan rumahnya di bawah pokok kelapa.  Memang best..nyaman ja rasa angin sawah yang menyapa.

Melihat koleksi gambar-gambar yang ada didinding....memang konfem beliau seorang anggota.  Ada sesetengah gambar dah pudar.  Namun kelihatan tak berhabuk....seolah-olah dijaga dengan cermat sekali. Pakcik tu keluarkan sebuah beg duffel (kitbag) lama dan dari dalam tu dikeluarkan barang-barang lama beliau yang kelihatan lusuh namun dijaga dengan baik.  Antaranya..uniform..belt..but..dan dari apa yang admin lihat..admin rasa beliau pernah berkhidmat sekitar tahun 60an dan 70 an.  Bila pakcik ni membuka kisah....memang tepat tekaan admin.

Pakcik ni pernah bertugas di pantai timur dan utara tanah air.  Semasa zaman darurat dulu, kebanyakan unit-unit keselamatan kita masih muda masa tu dan kebanyakan anak-anak muda begitu bersemangat menggembeling tenaga menyerahkan kudrat demi pertiwi.  Walaupun kebanyakan pegawai-pegawai atasan terdiri daripada orang putih, bagi pakcik ni dan rakan-rakannya....mereka tak ambil pusing, kerana bagi mereka yang penting adalah khidmat untuk pertiwi.  Pengalaman melalui zaman penjajahan membuatkan mereka jadi bersemangat untuk membela tanah tercinta dan bila orang putih kembali.  Objektif utama mereka adalah untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu yang mampu.....demi sepenuhnya membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah, tarik rambut dalam tepung....bak kata org....dan zaman insurgensi tu memberikan cabaran yang lebih kepada mereka kerana rata-rata yang mereka tentang adalah dari kalangan masyarakat sendiri, lukanya lebih pedih untuk ditanggung.

Kenapa pula pakcik?  Tanya admin.....panjang penerangan pakcik tu dan apa yang beliau ceritakan adalah dari perspektif seorang yang pernah berada di dalam arena.....bukan dari bacaan atau pemerhatian di layar perak. Antara lain, perjuangan menentang penjajah luar memberikan kita api yang berbeza.  Setiap titik darah mereka yang mengalir, kita tak pandang sangat.  Tapi perjuangan menentang komunis di zaman insurgensi sedikit berbeza.....kenapa?  Kerana rata-rata yang kita tentang adalah orang kita sendiri, ada jiran tetangga..ada juga dari kalangan saudara mara, jiran sekampung yang pernah membesar sekali dengan kita.....yang sama-sama bersembunyi semasa zaman penjajahan.....tiba-tiba membuat keputusan menjadikan kita musuh mereka. Hanya kerana kita mempunyai ideologi yang berbeza dari mereka.  Pada mulanya.....keputusan untuk mengangkat senjata terhadap mereka adalah sangat sukar.  Tapi bila melihat dan mengalami apa yang mereka lakukan, membuatkan kepahitan itu harus ditelan.  Apa taknya di mata mereka.....kita bukan lagi jiran atau saudara....tapi musuh yang harus dihapuskan demi mencapai angan-angan mereka.  Mereka tak kisah siapa yang mereka korbankan asalkan niat mereka tercapai.

Pakcik itu bangun dan mengambil sepasang messtin karat......diletakkan di depan admin. Admin belek ...tak nampak apa yang specialnya messtin tu....sekadar messtin besi yang berkarat. Tapi pakcik tu memegang messtin tu dengan penuh perasaan seolah-olah ianya adalah harta paling berharga baginya.  Admin tanya..ada apa dengan messtin tu?  Pakcik tu termenung panjang sebelum membuka kisah.

Menyertai pasukan keselamatan adalah keputusan yang beliau ambil dengan bangga dan sebagai anak muda.....semangat beliau berkobar-kobar demi perjuangan, nak pulak menyaksikan bagaimana kampungnya sendiri hampir jadi padang jarak padang tekukur dek pertarungan demi pertarungan.  Beliau..seperti anak-anak muda lain pada zaman itu....berhasrat mahu memainkan peranan membawa kembali keamanan ke tanah tercinta ini.

Semasa zaman insurgensi, beliau ditempatkan di sebuah unit di utara tanah air dan kawasan mainan beliau termasuklah hutan-hutan tebal yang banyak memagari negara kita pada zaman tu.  Anak muda...biasalah....darah panas.  Asal sebut saja nak masuk hutan jejak komunis....laju saja dia melompat dalam unit beliau.. Terdapat beberapa orang yang sama kampung dari beliau.....umur pun hampir sebaya, bila dah sekampung tu....faham-faham sajalah.  Berlumba-lumba nak membuktikan diri sendiri supaya nama baik tersebar ke kampung sendiri.

Ada seorang rakan sepasukan pakcik ni....yang walaubagaimanapun mempunyai pergeseran kecil dengan pakcik ni.  Puncanya?  Seorang gadis kampung mereka yg direbuti kedua-duanya.  Dek kerana gadis ni....kedua-dua rakan sekampung ini dingin hubungannya.  Jarang sekali bertegur sapa..apatah lagi duduk makan semeja, pernah juga beberapa kali pergeseran mereka membawa ke pergaduhan kecil....sehingga kesatu hari..membawa kepada kes bertumbuk yang mengecohkan unit mereka.  Dalam keadaan masing-masing lebam mata dan pecah bibir, mereka dibawa menghadap pegawai.  Menggeleng kepala pegawai itu meneliti kes mereka dan lalu mengeluarkan kata-kata yang masih pakcik tu ingat sampai sekarang.katanya.."kamu anak-anak muda yang berdarah panas dan segar.....kenapa mahu tumpahkan darah kamu untuk benda-benda kecil seperti seorang perempuan?  Tidak kamu sedar? Sedang kamu menumpahkan darah untuk seorang gadis yang tak ada hubungan dengan kamu....kamu merelakan perhatian kamu dipesongkan dari melindungi gadis dan wanita-wanita lain yang lebih penting dalam hidup kamu seperti ibu dan adik kamu?" kata-kata itu membuatkan pakcik tu terdiam..begitu juga dengan rakannya.  Sebagai hukuman mereka tak dikenakan court marshall sebaliknya dihantar dalam satu kumpulan untuk tugasan bersama di hutan.

Ternyata teguran pegawai tersebut sedikit sebanyak menyedarkan mereka.  Berada pula dalam operasi bersama....nak tak nak....segala perbezaan terpaksa ditolak ke tepi, di hutan....dalam operasi....tidak ada yang lebih rapat dengan kita melainkan buddy sepasukan.  Itulah yang terjadi kepada pakcik ni dan rakannya.  Sedikit demi sedikit terlerai permusuhan mereka, hingga akhirnya dapat juga duduk makan nasi sekali tanpa bercekau dan berkongsi rokok serta sikit-sikit cerita tentang kampung.  Kemudian....pakcik ni jadi agak pelik bila rakannya itu jadi semakin rapat. Sehingga tak boleh berenggang dengan dirinya.  Pakcik tu tak ingat apa-apalah.  Cuma hatinya jadi berbunga sebab mereka berdua dah berbaik semula.

Dan petang itu mencatat sejarah.....nak jadi cerita....sekitar pukul 5 petang, mereka sedang duduk menjamu selera...sebelum bersedia untuk stand to.  Rakan pakcik ni....duduk betul-betul sebelah beliau sehingga bertemu lutut, mesra sungguh dia petang tu....siap bergurau-gurau.....malah rakan pakcik tu mengambil separuh jumlah nasi dari messtinnya dan memasukkan ke messtin pakcik tu."ambiklah" katanya....."kau lebih perlukan dari aku. Aku dah tak perlu makan banyak-banyak..."tergamam pakcik tu..kenapa pulak ni?  Tapi melihat rakannya senyum.....pakcik ni buat tak tahulah.....dilayankan saja, dan tak berapa saat lepas tu....kedengaran tembakan. "contact!!!" kedengaran jeritan dari satu arah.

Keadaan jadi berselerak, messtin...lauk...nasik berterabur dengan segera senjata dicapai dan makanan ditinggalkan.  Masing-masing mengambil kedudukan perlindungan.  Tembakan berbalas dan jeritan dari ketua platun mengatakan mereka harus mengejar/pursuit musuh. Tindakan diambil dan dalam kerancakan mengejar musuh yang melarikan diri tiba-tiba terdengar bunyi letupan.  Tergamam semuanya sebentar, dalam kelam kabut tersebut.....pakcik ni mendekati dan mendapati rupa-rupanya musuh telah memasang boobie trap yang meletup setelah dilanggar oleh rakannya.  Rakannya tu sedang terbaring dengan perutnya yang pecah dan isi perut terburai keluar, tidak dipedulikannya apa yang berlaku disekelilingnya.  Senjata dilemparkan ke tanah dan dia terketar-ketar memangku rakannya itu.  Tercungap-cungapnya menatap maut yang datang menyapa dan dalam masa tu.....sempat rakannya berpesan....kau ambiklah gadis tu....jadikan isteri....jaga baik-baik.....aku dah nak pergi.  Pakcik tu tak tau nak buat apa, hanya mampu dia dengan bodoh menyumbat kembali isi perut rakannya tu dan rakannya terus senyap dan kaku.

Jangan ditanya apa yang berlaku selepas it.  Apa reaksi pakcik tu dan apa perasaannya....matanya menceritakan segala-galanya dengan air jernih yang tergenang di tubir matanya.  Airmatanya yang diseka dengan hujung baju yang lusuh.  Admin terdiam, sepulangnya ke kampung pakcik tu tak meneruskan amanah rakannya.  Tak sampai hati dia mengahwini gadis yang menjadi rebutan mereka dan akhirnya pakcik membujang sampai ke tua.

Sebelum admin melangkah.....pakcik sempat berpesan.  Dulu-dulu....anak-anak muda sanggup menumpahkan darah demi negara dan tidak ada yang lebih penting dari itu, walaupun perasaan sendiri.  Hari ini.....lebih ramai yang berebut menjaga kepentingan sendiri....bab perempuan sampai lupa erti persahabatan atau tanggungjawab. Dimanakah sudahnya nanti?  Apakah mungkin akan sampai masanya nanti.....adik,kakak atau ibu sendiri diketepikan demi perempuan lain.  Lebih utama.....adakah ibu pertiwi akan akhirnya ditolak demi kepentingan sendiri?  Admin tak tau nak jawab..=WRA=

Kredit : sumber

MP :  Sungguh sedih kisah ini .....entah berapa kali kesat air mata.....

Comments

Popular posts from this blog