22 RAMD
BATALION KE-22
SEJARAH AWAL PENUBUHAN
Batalion Kedua Puluh Dua Rejimen Askar Melayu Diraja ditubuhkan ekoran dari penghijrahan secara besar-besaran pendatang dari Vietnam akibat dari peperangan. Kemasukan pendatang Vietnam ini dikhuatiri berlaku penyusupan oleh pengganas komunis yang menyelinap masuk bersama-sama pendatang.
Batalion ini ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga berikutan arahan kerajaan untuk membuat penambahan serta merta anggota pasukan keselamatan khususnya Tentera Darat (PRISTA) sebagai usaha untuk membendung ancaman Pengganas Komunis. Batalion ini telah ditubuhkan pada 1 Jan 1979 melalui arahan penubuhan yang bernombor FED(M)/3000/6/72 yang dikeluarkan oleh Cawangan Rancangan Tentera Darat dengan nama rasminya “ Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja”,
Penubuhan ini telah dibuat dengan rasminya di Jabatan Infantri, Kementerian Pertahanan. Arahan penubuhan tersebut telah ditandatangani oleh Leftenan Kolonel Suleiman bin Kudus.
Pada 15 Feb 1979, Batalion ini telah ditempatkan di Kem Wade Wing, KEMENTAH, Kuala Lumpur sebagai perintis pembentukan dengan kekuatan dua orang pegawai sahaja. Pegawai yang berkenaan ialah Leftenan Kolonel Hashim bin Mohamad Amin dan Leftenan (KM) Yusof bin Ahmad. Pada 3 Mac 1979 kekuatan Batalion telah bertambah kepada 4 orang apabila menerima SMR pertama iaitu 14122 PW 1 Supian bin Hj Ibrahim dan Ketua Kerani pertama iaitu 14461 SSjn Mansor bin Haji Mahadi.
Pada 22 Mac 1979, Sel Latihan telah ditubuhkan dan telah menerima rekrut pertama seramai 34 orang pada 23 Sep 1979. Sejak itu, kekuatan batalion ini mula bertambah sehingga diisytiharkan mencapai taraf operasi pada 08 Mei 1980. Batalion mula melaksanakan operasinya yang pertama iaitu ‘Operasi Bamboo’ di kawasan Kubu Gob, Kedah pada akhir Mei 1980.
Pada 15 April 1999, Batalion ini dengan rasminya telah ditukarkan dari organisasi Batalion biasa kepada Batalion Infantri Standard (BIS). Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Memerintah ketika itu, Lt Kol Fadzil Bin Mokhtar atas kuasa penubuhan BIS/FED/30000/1/98 di Kem Rasah Seremban Negeri Sembilan. Ketika itu pasukan berkekuatan 20 pegawai dan 375 anggota lain-lain pangkat.
LAMBANG DAN COGANKATA PASUKAN
Batalion 22 RAMD telah dikurniakan bendera yang berwarna hitam sebagai latar belakang dan warna kuning melintang dari bawah sebelah kiri ke atas sebelah kanan bendera tersebut.
Bentuk yang latar belakang hitam dengan berselangkan kuning tua menandakan keakraban pasukan yang akan memikul segala tanggungjawab yang telah diserahkan bagi mengawal keselamatan negara yang merdeka dengan semangat yang tegas dan sentiasa menjaga kedaulatan Diraja.
Manakala warna kuning melambangkan perkhidmatan di bawah panji-panji Diraja dan hitam pula adalah warna yang biasa dipakai oleh pahlawan-ahlawan Melayu dan menandakan keperwiraan, ketabahan dan keteguhan Batalion.
“BERJUANG TERUS BERJUANG”
Manakala moto pasukan adalah ”BERJUANG TERUS BERJUANG” yang membawa maksud batalion ini akan terus berjuang untuk mempertahankan agama,bangsa dan tanah air.
PANJI-PANJI
Detik bersejarah yang tidak dapat dilupakan oleh warga batalion ini setelah 22 tahun berkhidmat untuk negara adalah apabila batalion ini dikurniakan Panji-Panji Rejimen pada 08 Ogos 2001 di mana upacara tersebut disempurnakan oleh KDYMM SULTAN KEDAH TUANKU HJ ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH.
Upacara yang bersejarah ini berlangsung semasa batalion ini berada di Kem Sri Kinabatangan, Sandakan, Sabah. Pegawai Memerintah pada ketika itu Lt Kol Fadzil bin Mokhtar(3000061) dan dibantu oleh SMR pasukan 1067301 PW I Baharin bin Safar. Pegawai Panji-Panji yang diberi penghormatan untuk menerima Panji-Panji tersebut ialah Leftenan Muda Hasbullah bin Mat Rahim (3008113).
Bagi menghargai pengurniaan dan tradisi pasukan ini, Panji-Panji pasukan akan diarak dengan penuh istiadat pada setiap tahun bagi dipertontonkan kepada semua warga pasukan.
RAGAAN BATALION
'KERIS DAN REBANA UBI'
Ragaan Utama 22 RAMD merupakan 'Sebilah Keris' yang diapit 'Rebana Ubi'. keris melambangkan kepahlawanan bangsa Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Rebana Ubi ialah satu alat muzik Melayu. Keris yang diapit Rebana Ubi tersebut mempunyai erti yang mendalam dalam hubungan tentera dan rakyat. Rakyat Negeri Sembilan yang dilambangkan sebagai Rebana Ubi sentiasa memberi tiupan semangat kepada pahlawan-pahlawan daripada batalion ini. Ia juga melambangkan betapa intimnya hubungan rakyat dengan warga batalion tersebut semasa mereka bertugas di Negeri Sembilan.
Ragaan ini telah dihadiahkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan kepada Lt Kol Fadzil bin Mokhtar pada tahun 2000 sebagai menghargai jasa batalion ini yang telah berkhidmat selama 14 tahun di Negeri Sembilan. Ianya dibuat daripada perak dengan kos semasa RM 4000.00.
PEGAWAI MEMERINTAH
Semenjak penubuhannya, pasukan ini telah diperintah oleh 14 orang Pegawai Memerintah . Kesemua Pegawai Memerintah telah memimpin pasukan dengan penuh komitmen yang tinggi untuk menaikkan nama pasukan tanpa rasa jemu.
SARJAN MEJAR REJIMEN
Seiring dengan semangat kepimpinan Pegawai Memerintah yang komited dalam meningkatkan nama pasukan ini. Tugas penting ini lebih licin dengan dibantu oleh SMR yang taat setia. Seramai 15 orang SMR yang telah berkhidmat kepada pasukan ini termasuk dua orang anak jati pasukan ini sendiri iaitu 1020126 PW I Mohd Khir bin Idris dan 1045561 PW I Kheder bin Ahmad.
PENEMPATAN PASUKAN
Di sepanjang perkhidmatan batalion ini selama 28 tahun menabur bakti kepada negara, batalion ini telah di tempatkan di lokasi-lokasi seperti Kem Wade Wing, Kuala Lumpur (01 Jan 1979 – 22 Mac 1979, Kem Batu Tiga (22 Mac 1979 – Awal Feb 1980), Lapang Sasar Batu Tiga, Kluang (Awal Feb 1980 – 13 Mac 1980), MSS, Sungai Petani (13 Mac 1980 – 07 Dis 1982), Kem Sri Kinabatangan, Sandakan (07 Dis 1982 – 12 Nov 1986), Kem Rasah, Seremban (12 Nov 1986 – 30 Okt 2000) dan pasukan kembali semula buat kali kedua ke Kem Sri Kinabatangan,Sandakan (30 Okt 2000) hingga sekarang.
SUMBANGAN
Sepanjang tempoh perkhidmatan, batalion ini telah berjaya menjalankan operasi melawan insurgensi yang bermula dengan Operasi Bamboo pada akhir Mei 1980 setelah batalion ini mendapat pengisytiharan mencapai taraf operasi pada awal Mei 1980. Operasi-operasi yang telah dijalankan oleh pasukan sepanjang perkhidmatan sebelum berpindah ke Kem Sri Kinabatangan, Sandakan pada tahun 2000.
Di antara operasi-operasi tersebut ialah Operasi Sedar Gubir, Operasi 8903 Bravo, Operasi Kota Echo, Operasi Khas Sedar Lenggong 5/82, Operasi Sandakan, Operasi Kapak Pantai 3, Operasi Jala Aman, Operasi Ulu Perak, Operasi Kota Echo Sg Kenabong, Operasi Kota Echo Pegkalan Hulu 6/88, Operasi Paksi Setia, Operasi PIPI, dan Operasi Merpati.
Antara kejayaan pasukan ini di dalam operasi adalah penemuan jerangkap samar, kem-kem sementara komunis dan penemuan tempat simpanan makanan. Pasukan juga berjaya menangkap Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang baru mendarat semasa Operasi Merpati.
Sepanjang tujuh tahun berkhidmat di Sabah, pasukan ini terlibat dalam tugas Operasi Pasir/ Balasah di mana banyak kejayaan dalam membenteras kemasukkan kumpulan bersenjata, lanun, penyeludupan, serta Tentera Negara Asing yang memasuki perairan dan kawasan tanggungjawab Negeri Sabah.
PERISTIWA SERANG HENDAP ULU LENGGONG
Berpandukan catatan sejarah yang sedia ada, Batalion ini telah diuji ketabahan dan semangat anggotanya iaitu semasa menjalankan tugas di Klian Intan dalam Operasi 803 Bravo. Dalam operasi ini kejadian jerangkap samar yang pertama telah menimpa 30515 Lkpl Suparman bin Taib pada 14 Mac 1981. Akibat dari kejadian tersebut LKpl Suparman telah dipotong kakinya di bahagian buku lali ke bawah.
Kejadian ini boleh dianggap sebagai satu petanda kepada peristiwa Serang Hendap Ulu Lenggong. Peristiwa serang hendap Ulu Lenggong berlaku ketika batalion menjalankan Operasi Sedar Gubir untuk kedua kalinya. Kejadian ini berlaku pada 29 Okt 1981 pada jam lebih kurang 10 pagi apabila 9 orang anggota dari Kompeni Bravo yang berpengkalan di Markas Tek Ulu Lenggong bergerak keluar untuk mengambil bekalan makanan.
Sewaktu dalam perjalanan kenderaan Volvo 2 Ton Mortar yang sedang membawa anggota tersebut telah diserang hendap oleh pengganas komunis yang dianggarkan berkekuatan seramai 25 orang. Dalam kejadian tersebut didapati Penganas komunis telah menggunakan M 79 untuk memusnahkan enjin kenderaan untuk di berhentikan secara serta merta.
Serang hendap ini telah mengorbankan 7 orang perwira 22 RAMD dan mencederakan 2 anggota. Selain daripada itu sebanyak 9 laras M 16, 45 kelopak dan 1050 peluru 5.56mm telah dirampas oleh penganas.
Sepanjang penubuhannya batalion ini telah mengharungi pelbagai dugaan sejak dari awal lagi. Namun berlandaskan prestasi semasa pencapaian batalion ini boleh dibanggakan. Kejadian serang hendap Ulu Lengong adalah merupakan detik hitam dalam sejarah batalion dan haruslah dijadikan iktibar dan inspirasi oleh semua peringkat anggota sebagai azimat untuk mempertingkatkan semangat juang dalam diri masing-masing dalam mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara.
LAGU BATALION
‘Berjuang Terus Berjuang’. Ia dicipta dan digubah oleh SSjn Shahidan bin Ahmad, Drum Mejar pada 30 Mei 1979. Seni kata lagu adalah seperti berikut:
Berjuang Terus Berjuang
Gagah Perkasa, Taat dan Setia
22 Melayu Diraja
Rela Berkorban Walau Apa Saja
Untuk Nusa dan bangsa
22 Melayu Diraja
Rela Berkorban Walau Apa Saja
Untuk Nusa dan bangsa
Keris, Kerambit, Badik Dan Kapak
Lambang Bersama Tombak
Lambang Bersatu Semangat Berpadu
Pantang Undur Terus Maju
Kami Berikrar Taat Dan Setia
Moga Kita Berjaya
Bersatu Padu Mencapai Cita-Cita
Hapuskan Musuh Durjana
22 Melayu Diraja
Perwira Gagah Perkasa
Siap Sedia Walau Di mana
Untuk Membela Negara
Lambang Bersama Tombak
Lambang Bersatu Semangat Berpadu
Pantang Undur Terus Maju
Kami Berikrar Taat Dan Setia
Moga Kita Berjaya
Bersatu Padu Mencapai Cita-Cita
Hapuskan Musuh Durjana
22 Melayu Diraja
Perwira Gagah Perkasa
Siap Sedia Walau Di mana
Untuk Membela Negara
KREDIT : SUMBER
MP : Sharing......
Comments
Post a Comment