Kem Tentera Baharu Di Port Dickson Ganti Kem Rasah






SEREMBAN 17 Julai - Kem tentera yang baharu akan dibina di Port Dickson bagi menggantikan Kem Rasah di sini, kata Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad.
Katanya, peruntukan RM118 juta di bawah 'Army Care' telah diluluskan untuk projek itu di kawasan seluas 68 hektar di Bukit Hitam, Sunggala yang dijangka bermula tahun depan dan mengambil masa di antara 24 bulan hingga 36 bulan untuk disiapkan.

"Sekarang ini kita telah berbincang dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) Jabatan Perdana Menteri mengenai perumahan di kem tersebut. Lakaran infrastruktur kem pun telah kita bincang," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Panglima 1 Briged di padang kawad 15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Senawang dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, Panglima 1 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan secara rasmi menyerahkan tugas kepada penggantinya, Brigadier Jenereal Datuk Adnan Abu Bakar.

Sheikh Mokhsin akan menjawat jawatan Pengarah Infantri Markas Tentera Darat di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.
Razali berkata, apabila siap, kem baharu itu akan dijadikan 1 Briged Armor.
Markas 1 Briged di Kem Rasah bertanggungjawab mengawasi keselamatan dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka.

Terdahulu, Sheikh Mokhsin menerima tabik hormat daripada 14 pegawai dan 211 anggota lain-lain pangkat diketuai pegawai memerintah 15 RAMD Lt. Kol. Mat Noh Ngadiman pada upacara perbarisan perpisahan.

Adnan sebelum ini mengikuti pengajian di peringkat sarjana di Kolej Pertahanan di Amerika Syarikat selama setahun. Beliau sebelum itu adalah Ketua Pengarah Kor Armor Diraja dan Ketua Team Hala Tuju Tentera Darat selain pernah menjadi juruiring Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Razali turut melahirkan penghargaan kepada Sheikh Mokhsin sebagai Panglima 1 Briged yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.

"1 Briged bertanggungjawab mengawasi keselamatan dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka. Selama satu tahun tujuh bulan Sheikh Mokhsin sebagai Panglima 1 Briged, saya amat berpuas hati dengan tugas yang dilaksanakan beliau.
"Saya harap Adnan dapat meneruskan tugas cemerlang ini," katanya.
Adnan pula berterima kasih kerana diberi tanggungjawab sebagai Panglima 1 Briged dan berjanji untuk melaksanakan tugas sebaik mungkin. - BERNAMA


MP : Menghitung hari.......

Comments

Popular posts from this blog