Bazar Ramadan Mega Jalan Hang Tuah Mula Jadi Tumpuan




MELAKA - Suasana malam di Jalan Hang Tuah yang dulunya sepi kini menjadi meriah apabila Bazar Ramadan Mega mula beroperasi di bulan ramadhan ini.
Bazar yang pertama kali diperkenalkan di Jalan Hang Tuah bermula dari Dewan Hang Tuah hingga ke Restoran Subaidah sepanjang satu kilometer itu menjadi tumpuan orang ramai sepanjang Ramadan ini.


Dihiasi lampu warna-warni di sepanjang gerai menjadikan bazar berkenaan antara daya penarik terbaharu pelancong sepanjang Ramadan ini.
Bazar tersebut diwujudkan hasil idea Ketua Menteri, Datuk Idris Haron.
Sebanyak 254 khemah menjual pelbagai barangan keperluan harian untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri telah mula beroperasi dengan masing-masing menghias gerai untuk menarik minat orang ramai.
Bazar Ramadan Mega yang diperkenalkan ini menggantikan lokasi lamanya di Taman Chempaka dilihat lebih selesa untuk orang ramai berkunjung ke situ.
Antara kemudahan yang disediakan kepada orang ramai ialah 12 tandas awam, surau yang terletak di tempat letak kenderaan berhadapan Restoran Tranquera dan tempat meletak kenderaan di belakang Graha Makmur.
Bazar berkenaan mula dibuka dari pukul 4 petang hingga 2 pagi setiap hari sehingga 8 Ogos. Bazar Ramadan Mega juga turut menyediakan pelbagai aktiviti hujung minggu seperti ceramah agama, persembahan artis terkenal tanah air, persembahan nasyid dan penampilan Raja Lawak.
Antara barangan keperluan yang dijual di Bazar Ramadan Mega ialah baju kurung, baju kebaya, baju Melayu, songkok, tudung, selendang, kasut, baju T, minyak wangi dan sebagainya. Pelbagai juadah kuih raya daripada tradisional hingga moden turut dijual di sini.
Beberapa peniaga ketika ditemui melahirkan rasa lega dengan lokasi baharu Bazar Ramadan di Jalan Hang Tuah. Seorang peniaga, Muhammad Syazwan Abu Bakar, 25, berkata, lokasi baharu itu jauh lebih selesa berbanding di Taman Chempaka.
''Saya lihat bazar ini cukup selesa dan tidak bersesak-sesak kerana ruang pejalan kaki adalah luas dan bazar ini dihias indah dengan lampu warna-warni," katanya.
Bagi Rafeah Yusof, 47, yang menjual pakaian wanita pula berkata, dia yakin lokasi baharu itu dapat menarik orang ramai berkunjung ke situ.
''Lokasinya cukup strategik dengan ruang niaga yang luas dan ruang pejalan kaki juga cukup selesa jauh lebih baik daripada Taman Chempaka," katanya.
Bagi Khairul Effendy Mohd., 31, peniaga pelbagai jenis kasut menyifatkan tindakan membuka bazar di Jalan Hang Tuah merupakan keputusan tepat.
''Lokasi ini jauh lebih baik berbanding Taman Chempaka kerana banyak kemudahan untuk pengunjung seperti surau, tempat letak kenderaan dan laluan selesa," katanya.


sumber

MP : Belum terjah lagi bazar ramadhan kat jalan Hang Tuah, padahal dekat sangat dengan rumah....

Comments

Popular posts from this blog