Saturday, October 5, 2013

Budaya Yang Sudah Kita Ketepikan



Kelmarin saya bertemu seorang teman di sebuah kafe sambil minum petang. Saya pesan minuman cappuccino latte. Bila minuman itu dihidangkan, saya terpegun menatap lukisan latte-art yang cantik di permukaan minuman itu.

Memori saya melayang teringatkan awan larat diperbuat daripada santan yang emak lukiskan di permukaan bubur pulut hitam kegemaran saya. Dulu bubur pulut hitam, kini cappuccino. Betapa jauh masa berlalu, betapa berbezanya citarasa berubah.

Saya kata begitu kerana kini saya lebih kerap meneguk cappuccino daripada menjamah bubur pulut hitam. Mungkin kerana di kota, cappucino lebih mudah diperolehi daripada bubur pulut hitam, maka itu yang membezakan kekerapannya.

Namun, bila bayangan bubur pulut hitam yang emak buat terpapar di layar minda pada petang kelmarin, saya disentuh dengan rasa bagaimana masa dan suasana menjadikan selera kita sudah berbeza.

Saya teringat zaman bujang di Kuala Lumpur pada awal tahun 80an. Kami yang duduk serumah di Bangsar akan bermotorsikal ke Chow Kit untuk makan nasi lemak selepas tamat siaran TV jam 12.00 malam. Pada kali pertama, saya berasa hairan kerana makan nasi lemak di tengah malam.

Walhal sejak kecil di kampung dahulu, nasi lemak adalah hidangan untuk sarapan. Dan, nasi lemak dahulu hanyalah nasi dengan sesudu sambal, sepotong telur dan dilengkapkan dengan dua hiris timun yang dibungkus dalam daun pisang. (Di waktu kecil, saya suka belek timun yang cantik berbunga kerana disagat dengan garfu). Nasi lemak di Chow Kit siap dengan sotong, ayam, kerang dan sayur kangkung!

Namun, sejak dari itu saya mula belajar makan nasi lemak dengan beranika lauk bukan semata-mata untuk sarapan pagi. Malah, kini saya pula terasa ganjil pula bila membeli nasi lemak dengan resipi original timun, telur dan sambal sahaja walaupun, nasi lemak ponjot itu pun turut mengenyangkan hingga ke tengahari.

Tabiat bersarapan dengan roti canai pun saya belajar setelah berhijrah ke Kuala Lumpur. Di zaman persekolahan di kampung, makanan yang sejenis dengan roti canai ialah lempeng yang dimakan dengan sambal kelapa atau sambal tumis ikan bilis. Saya tidak kenal dengan roti telur, roti sardin, apatah lagi roti keju. Kalau dahulu saya bersarapan dengan jemput-jemput ikan bilis, kini sarapannya bertukar kepada nuget. Sama pada saiz tetapi berbeza rasa.

Tatkala kecil, ayam yang hanya mampu saya rasa ketika ada majlis kenduri kahwin atau apabila emak masak untuk menyambut abang saya balik kampung, kini boleh saya mamah pada bila-bila masa. Saya tidak berasa pelik makan ayam goreng tanpa nasi sehinggalah apabila nenek saudara yang berkunjung ke rumah pada bulan lalu menegur hidangan tengahari kami hanya sekotak besar ayam goreng.

Citarasa makanan kita pada mulanya berubah kerana kita tiada masa. Ketika anak-anak masih kecil dan kita sibuk hendak membina kerjaya dan keluarga, mana sempat isteri hendak membuat karipap atau kuih kasui sebagai sarapan seperti yang emak kita dapat lakukan? Maka anak-anak yang hendak ke sekolah dibiasakan dengan roti bersama jem ataupun kentang goreng.  

Bila pulang dan tidak sempat memasak lauk gulai tumis ikan pari atau masak lemak nangka dengan ulam-ulaman sebagai makan malam, satu keluarga akan mengunyah burger atau piza. Kalau pun makan nasi, kita lazimnya akan menjamah nasi paprik, tomyam dan sayur campur yang dibeli dari restoran Siam kerana hampir mustahil kita dapat mencari masakan Melayu di restoran pada waktu malam.

Kerana kesibukan dan menu makanan yang ada, kita mengajar diri dan seluruh keluarga untuk makan apa yang mudah didapati dengan cara membeli. Akhirnya, kita yang menukar selera makanan anak-anak. Tetapi, bila tiba mereka membesar, mereka yang sudah bercitarasa universal pula mempengaruhi kita dengan memperkenalkan masakan Jepun, Korea, China, Itali atau Mexico.

Namun, bila difikirkan, bukankah makanan itu sebahagian daripada budaya kita? Bukankah bila kita mengenepikan menu dan resipi tradisi Melayu, ia juga bermakna kita mengkesampingkan sebahagian daripada budaya kita? Tidak rasa terkilankah menolak sebahagian daripada budaya?

Kalau kita boleh marah-marah dengan pengagungan bahasa Inggeris, mempersoal mereka yang berbahasa rojak, berbahasa pasar atau menulis mengikut ejaan SMS, kenapa kita tidak kisah kalau kita suka donat daripada kuih keria? Kalau kita mengkritik pakaian barat, mengapa tidak kisah dengan selera barat kita sekeluarga?

Budaya tetap budaya. Bahasa, tulisan, pakaian, adab sopan, kesenian dan permainan patut kita sanjung dan pertahankan. Makanan? Makanan dikecualikan kerana makan adalah… maaf cakap; soal hidup dan mati!

 Sumber
Gambar : Google

MP : Bangsa menceritakan budaya yang mempunyai nilai tersendiri......