Tuesday, October 29, 2013

Kek Pandan Gebu


Kek Pandan
Hari minggu yang lalu aku ada buat kek pandan, ingat nak buat kek butter tapi bila dah godak ada permintaan kek tu buat ler kaler-kaler sikit nampak meriah.  
So letak kaler hijau, nak letak kaler coklat stok dah habis pulak. Bila kek dah siap masak dalam masa beberapa jam sahaja telah licin habis tinggal loyang bersama habuk kek sahaja.
Ini resepinya kek pandan gebu....

Bahan-bahannya:-
   250gm buttercup
   1 cawan gula kaster
   2 cawan tepung superfine
   4 biji telur
   4 sudu susu pekat (sepatutnya susu segar untuk lembutkan kek)
   1 sudu kecil ovalette (suka hati nak letak)
   1 sudu kecil vanila
   1 sudu kecil baking powder
   1 sudu kecil pandan emulco (seperti dalam gambar)
   1 sudu kecil pewarna hijau epal
   2 sudu minyak jagung
   serbuk badam hancur (suka hati nak letak untuk hiasan)   


Cara-cara:-
1.  Panaskan oven dengan suhu 170 C sebelum memasak agar suhu oven sebati bila hendak membakar kek. (saya guna oven bakar dari atas)
2.  Griskan loyang pembakar dengan planta agar kek tidak melekat pada loyang.
3.  Pukulkan buttercup bersama gula sehingga gebu dan putih.
4.  Pukulkan telur putih dan kuning secara berasingan sehingga nampak kembang.
5.  Masukkan tepung sedikit demi sedikit bersama susu pekat, ovalette, esen vanila, baking powder, pandan emulco dan pewarna hijau.  Gaulkan sehingga adunan sebati.
6.  Masukkan kuning telur dan gaulkan bersama tepung dan akhir sekali masukkan putih telur dan pukulkan sehingga sebati dan nampak gebu.
7.  Masukkan minyak jagung dan gaulkan sebati dengan adunan tadi.
8.  Dah siap taburkan badam hancur di atas adunan kek tadi.
9.  Masukkan dalam oven dengan suhu 170 C selama 45 minit.
10.  Untuk 10 minit terakhir agar kek nampak cantik kurangkan suhu.
11.  Setelah kek masak, sejukkan seketika dan keluarkan dari loyang dan biarkan kek sejuk sepenuhnya.

Pandan Emulco
MP :  Petua untuk mengetahui kek masak hendaklah dicucuk dengan garfu @ lidi, sekiranya tidak melekat bermakna kek tersebut sudah masak.