Jasa Aloutte III tidak ternilai

Alouette III
Aloutte III
sumber : Airforce

Rencana ini amat menarik dan ingin dikongsikan supaya kita tahu betapa besarnya jasa helikopter ALOUTTE III  kepada pasukan TUDM dalam memerangi pengganas komunis dan operasi menyelamat.......

DIGERUNI pengganas komunis. Jasa yang ditaburkan Helikopter Aloutte III yang dimiliki Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 1963 terhadap kedaulatan negara ini sememangnya tidak ternilai harganya.

Kemuncak zaman kegemilangan helikopter berkenaan adalah pada sekitar tahun 70-an hingga 80-an apabila ia menjadi tulang belakang dalam usaha memerangi pengganas komunis di negara ini.
Pemilikan 26 buah Aloutte III dari Perancis yang bukan sahaja memantapkan kerja-kerja penempatan kuasa tempur dan bantuan perubatan negara ketika itu malah, helikopter itu sendiri menjadi jentera perang terkuat pasukan pertahanan sendiri!
Aloutte III turut dikatakan tidak pernah ditembak langsung oleh pengganas komunis.
Pemasangan senapang berkaliber tinggi menggunakan peluru 20 milimeter(mm) digelar cannon yang boleh berputar 360 darjah telah menyebabkan pengganas lari 'tidak cukup tanah' hanya dengan mendengar sahaja bunyi bingit pusingan bilah-bilah rotornya di udara.
Tiada pengganas komunis yang terlepas daripada kuasa tempur Aloutte III, baik di sebalik pokok, di belakang busut dan di dalam khemah. Perkara ini diakui sendiri pengganas-pengganas tersebut apabila disoal siasat.

Bagi bekas Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Abdullah Ahmad, Aloutte III merupakan helikopter yang sangat signifikan terhadap kerjayanya sebagai seorang juruterbang TUDM.
Katanya, Aloutte III merupakan helikopter paling berkesan terhadap tugas-tugas mobilisasi anggota-anggota yang cedera dan terkorban akibat pertempuran - kecil dan pantas.
"Ada mayat yang masih panas dan berlumuran darah, ada juga mayat yang telah tiga empat hari baru dibawa pulang. Baunya, ya Allah! Memang meloyakan".

"Terdapat satu masa, semasa menjadi juruterbang Aloutte III, but saya dibasahi darah kerana satu helikopter dibanjiri darah milik askar-askar yang cedera," katanya kepada Mega ketika ditemui di kediamannya di Rawang, Selangor baru-baru ini.
Helikopter itu katanya, turut besar jasanya kepada rakyat negara ini terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman termasuk masyarakat Orang Asli ketika itu. Setiap bulan, pesawat itu akan melakukan penerbangan ihsan membawa doktor dan jururawat ke perkampungan mereka untuk mengadakan pemeriksaan kesihatan.

Pengalaman pahit
Boleh dikatakan setiap juruterbang Aloutte memiliki saat mengerikan sewaktu mengemudi helikopter berkenaan. Kata Abdullah, saat ngeri tersebut padanya adalah ketika misi membawa pulang mayat seorang kapten dari pasukan 2 Renjer bernama Nathan di Raub Pahang.
Misi yang dilaksanakan pada 12 Januari 1971 itu memberi pengalaman berharga baginya dalam kerjaya sebagai seorang anggota pasukan pertahanan sehingga meninggalkan impak signifikan walaupun setelah menjadi seorang Panglima TUDM.
"Pada ketika itu, saya ditugaskan membawa pulang mayat perwira yang telah gugur setelah dua hari. Pasukan darat tidak dapat mendekati mayat-mayat tersebut berikutan dikawal rapi oleh komunis.
"Pasukan darat gerak selangkah sahaja akan ditembak pengganas yang mengelilingi mayat-mayat tersebut. Keadaan menjadi buntu kepada mereka. Di sinilah saya dan Aloutte III digerakkan.

"Saya diberitahu di sana tiada tapak pendaratan untuk mengeluarkan mayat di situ. Saya diarahkan menggunakan kaedah 'winching' iaitu menarik mayat ke helikopter yang berada di ruangan udara menggunakan kabel," katanya.
Namun begitu, setibanya di kawasan tersebut, beliau menyedari bahawa mayat tersebut berada di kawasan di bawah rimbunan pokok-pokok besar setinggi 150 hingga 200 kaki.
Perkara tersebut katanya, membuatkan beliau cemas memandangkan kepanjangan kabel winching hanya 86 kaki. Lagipun, tiada ruang antara pokok-pokok besar tersebut untuk Aloutte turun mendapatkan mayat-mayat tersebut.
Dalam keadaan terdesak itu, pemandangan Abdullah tertumpu kepada sebuah kawasan lapang berdekatan iaitu kira-kira 90 meter dari lokasi mayat-mayat tersebut.
"Keadaan hutan kita ini memang berlapis, kita ada hutan primary di atas dan belukar setinggi 60 kaki. Saya menggagahkan diri untuk turun ke kawasan lapang tersebut dan bergerak ke lokasi mayat-mayat berkenaan pada paras dahan-dahan pokok.

"Kita tahu kalau rotor terkena dahan-dahan ini maka kemalangan menanti. Tetapi saya tetap memberanikan diri untuk menyusup di bawah rimbunan pohon dan tiba ke lokasi misi.
"Alhamdulillah, kami tiba di lokasi misi dan menjatuhkan kabel untuk dipautkan pada bungkusan-bungkusan mayat tersebut. Mayat-mayat tersebut berjaya dibawa naik ke helikopter," katanya.
Pada ketika itu katanya, pegawai yang menurunkan dan menaikkan mayat-mayat berkenaan adalah Ketua Skuadron, Ahmad Saruji Che Rose iaitu Panglima TUDM Ke-11, 30 tahun selepas itu.
Kemudiannya, Abdullah dan Ahmad Saruji berdepan dengan masalah baru pula iaitu untuk keluar balik daripada kawasan rimbunan pokok tersebut. Namun begitu, berkat kesabaran kedua-dua mereka, Aloutte tersebut telah berjaya keluar dan membawa pulang semua mayat-mayat berkenaan.

Pengalaman manis
Terdapat juga sisi manis sebagai juruterbang Aloutte III kerana pada Abdullah, struktur helikopter tersebut adalah sangat unik terutama apabila melibatkan tugasan membawa ramai orang kenamaan.
Katanya, Aloutte III merupakan satu-satunya helikopter yang mana orang kenamaan akan duduk di sebelah juruterbang. Beliau pernah menerbangkan beberapa pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.
"Saya masih ingat sewaktu Seri Paduka Baginda duduk di sebelah saya untuk melakukan 'fleet review' semasa pertunjukan maritim. Saya juga masih ingat Perdana Menteri menaiki Aloutte yang dipandu saya untuk melihat kawasan-kawasan tertentu," katanya.

Beliau menambah, saat menggembirakan saya adalah apabila kepimpinan TUDM membenarkan beliau menerbangkan Aloutte III membuat persembahan sempena Ulang Tahun Ke-21 ketumbukan itu. Pada beliau, umur 21 itu melambangkan kematangan TUDM.
"Sebagai Panglima Tentera Udara pula, saya menerbangkan Aloutte III sekali lagi pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2003. Pada ketika itu, saya telah membuat pelbagai pegerakan yang tidak dibenarkan syarikat pembuat pesawat.

"Saya membuat pergerakan laju ke udara kemudiannya pusing secara mendadak 90 darjah (torque turn) ke atas sebelum berhenti di udara dan jatuh menjunam ke bawah dan seterusnya membuat pusingan terakhir 90 darjah semula. Saya buat pergerakan ini empat kali mewakili setiap sudut.
"Pergerakan terakhir saya digelar 'one way ticket' yang mana semasa berada 500 kaki di udara, saya bertindak mematikan enjin menyebabkan helikopter turun secara 'auto rotation'.

"Seterusnya saya melakukan will milling (menjunam pada ketinggian tertentu) kemudiannya melakukan 'flare' untuk mengurangkan impak jatuh dan mendarat, tanpa menghidupkan enjin," ujarnya.
Semua pemimpin-pemimpin tentera asing yang hadir termasuk United Kingdom, Russia, Amerika Syarikat, Itali dan Perancis jelasnya, terpegun dengan aksi-aksi Abdullah.
Seorang jurutera Aloutte III dari Perancis turut berjumpa dengannya untuk bertanya sama ada TUDM mengubah kemampuan enjin helikopter tersebut dan tidak mempercayai apabila beliau menyatakan helikopter itu tidak pernah diubahsuai sama sekali.

Sumber : Utusan

MP :  suka baca kisah dan pengalaman anggota tentera bersama pasukannya......

Comments

Popular posts from this blog